HAIKOU, 8 Mei — Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (CICPE) di wilayah Hainan diyakini mampu tampil sebagai satu daripada pameran paling berprestij di negara itu. 

Demikian menurut Duta Switzerland ke China, Bernardino Regazzoni ketika berucap merasmikan pembukaan pavilion negara pada Jumaat.

Selaku negara tamu bagi CICPE pertama, pavilion Switzerland mempamerkan banyak jenama ternama negara itu membabitkan jam tangan, produk makanan dan minuman, pakaian, kelengkapan rumah dan lain-lain.

Pavilion itu turut menawarkan pengalaman interaktif yang membolehkan pengunjung merasai juadah tempatan Switzerland atau membuat jam tangan.

Ketika majlis pembukaan itu, Bernardino berkata, selain menerusi wadah pameran, kolaborasi dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan akan dipertingkat lagi menerusi projek pembinaan pelabuhan perdagangan bebas di Hainan.

Naib gabenor wilayah Hainan,  Ni Qiang berkata,  pihaknya mengalu-alukan lebih ramai peniaga Swiss melabur di Hainan.

“Projek pembinaan pelabuhan perdagangan bebas sedang giat diusahakan. Dengan adanya kelebihan dari segi kedudukan geografi, daya saing wilayah ini makin terserlah apabila diperkenalkan lebih banyak dasar keutamaan dari segi dagangan, pelaburan, tenaga kerja, kutipan cukai dan lain-lain,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here