KUCHING, 22 Mei — Lebih 95 peratus daripada 149 kes baharu COVID-19 di sini hari ini adalah melibatkan pergerakan semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN dalam satu kenyataan memaklumkan jangkitan tinggi di daerah itu terdiri daripada kes yang dikesan mempunyai kontak dengan kes positif sebelum ini dan kebanyakannya merupakan ahli keluarga mereka.

Sarawak sebelum ini memutuskan bahawa sambutan Aidilfitri di negeri itu hanya dibenarkan pada hari raya pertama dengan kehadiran keluarga terdekat.

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak mencecah 41,620 dengan 749 kes baharu dicatatkan hari ini.

Dua kematian baharu turut dicatat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat jangkitan itu kini 249 orang.

JPBN Sarawak turut memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Panjang (Rh) Keli, Sungai Minus, Sarikei bermula hari ini hingga 7 Jun selain melanjutkan PKPD di Rh Jugo anak Gait Sungai Petai, Sarikei hingga 26 Mei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here