MELAKA, 7 Ogos  — Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Melaka bersama lapan badan bukan kerajaan (NGO) lain menyasarkan pemberian 15,120 dos vaksin COVID-19 kepada 7,560 penerima di Melaka menerusi Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid mulai 31 Julai hingga 16 Okt depan.

Penasihat Papisma Melaka Datin Dr Rina Salwani Mohd Tamin berkata setakat hari ini sebanyak 1,680 dos vaksin telah diberikan kepada 840 penerima di empat masjid terpilih iaitu Masjid Tun Khalil Asahan dan Masjid Jamek Ar-Rahman Kampung Pulai di Jasin serta Masjid Ar-Rahman Krubong dan Masjid Al-Alami di Melaka Tengah di sini.

“Program Outreach PPV Masjid akan dijalankan setiap Sabtu membabitkan 420 dos suntikan sehari melibatkan 210 penerima terdiri daripada pegawai syarak, ahli jawatankuasa serta kariah masjid dalam lingkungan jarak lima kilometer.

“Pemberian vaksin ini melibatkan penerima beragama Islam dan bukan Islam dalam usaha menyerlahkan fungsi masjid sebagai salah satu institusi yang memelihara maqasid syariah dalam konteks penjagaan nyawa,” katanya kepada pemberita selepas Program Outreach PPV di Masjid Al-Alami di sini hari ini.

Dr Rina Salwani yang merupakan Penyelaras Koordinasi Program Outreach PPV Masjid Al-Alami berkata senarai nama penerima vaksin di bawah program itu akan diberikan oleh pihak pengurusan masjid terlibat dengan syarat penerima belum mendapat tarikh janji temu daripada Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera.

Program dengan kerjasama NGO antaranya Malayan Nurses Union, Pertubuhan Kebajikan Muda Melaka dan Persatuan Wanita Sejahtera Melaka itu mendapat sokongan daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here