KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Solat berjemaah di surau dan masjid serta merentas daerah atau negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh kini dibenarkan dengan syarat mereka telah menerima vaksinasi lengkap dan langkah terbaharu ini terpakai dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Selasa, 10 Ogos.

Ketika mengumumkannya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi juga dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Perdana menteri berkata demikian dalam pengumuman khas kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

“Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital,” katanya. 

Muhyiddin menjelaskan seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah melengkapkan vaksinasinya apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan untuk diktiraf sebagai telah melengkapkan vaksinasinya.

Mengenai bersolat di surau dan masjid, beliau berkata pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan memastikan jemaah terus pulang setelah selesai menunaikan solat. 

“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

”Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat dan ia tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri serta Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here