KUALA LUMPUR, 9 Ogos  — Penyanyi terkenal tanah air Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.

Perkara berkenaan disahkan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, menerusi Instagram rasminya.

“5.13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya (Siti Sarah) pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

Siti Sarah, 37 yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.

Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

Penyanyi lagu Kesetiaan dan Ke Hujung Dunia itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan anaknya keempatnya yang diberikan nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarhamah Siti Sarah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta ditempatkan di syurga Allah.

“Kepada Shuib semoga tabah menghadapi dugaan Allah, sabar dan terus berdoa kepada Allah. Semoga dipermudahkan urusan buat Allahyarham,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram persatuan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here