PUTRAJAYA, 10 Ogos — Kemudahan dan fleksibiliti yang diberikan kepada individu lengkap vaksinasi dapat merancakkan lagi pelbagai ekonomi domestik ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata semua komuniti pengguna dan peniaga diingatkan supaya bekerjasama memastikan kepatuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) terutama negeri di fasa dua dan fasa tiga demi kesihatan dan keselamatan, ekonomi serta kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan.

“Kebenaran ‘dine-in’ bagi mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap memberikan kelegaan dalam kalangan pengguna dan pengusaha kedai makan, restoran dan kafe di negeri-negeri fasa dua dan tiga dengan penguat kuasa KPDNHEP akan memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pengujung dan premis-premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nanta berkata KPDNHEP yakin negara berada di landasan yang betul untuk keluar daripada pandemik ini dengan lebih teratur dan selamat berdasarkan 15.35 juta atau 65.6 peratus individu dewasa telah menerima dos pertama dan 8.25 juta atau 35.3 peratus individu dewasa lengkap menerima dua dos vaksin serta kadar vaksinasi harian yang telah melepasi paras 500,000 dos.

Beliau berkata KPDNHEP melalui pelbagai kenyataan dan program libat urus dengan pemain industri peruncitan dan pengedaran sebelum ini telah menekankan betapa semua pemain industri harus bersiap siaga dalam menyahut seruan kerajaan membuka perniagaan di semua sektor secara berperingkat dan berfasa dengan syarat semua pekerja telah lengkap divaksinasi dan premis dilengkapi dengan segala keperluan untuk melaksanakan SOP sepanjang masa.

“KPDNHEP juga telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam melaksanakan Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Lembah Kelang sejak 26 Julai lalu dan sehingga kini sejumlah 29,105 pekerja industri ini telah menerima vaksin.

“Program ini akan diperluaskan ke negeri seperti Pulau Pinang dan Johor tidak lama lagi berdasarkan pendaftaran yang diterima,” katanya.

Kelonggaran kemudahan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin dan menetap di negeri dalam fasa dua dan fasa tiga bermula hari ini, susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lepas.

Untuk rekod, negeri di fasa dua meliputi Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Sabah manakala fasa tiga 3 melibatkan Labuan, Sarawak dan Perlis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here