JOHOR BAHRU, 10 Ogos — Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas penambahan bekalan dua juta dos vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Baginda bertitah tambahan bekalan dos vaksin itu akan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti kelompok di Johor.

“Keadaan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat amat membimbangkan…dengan penambahan dos vaksin ini, kita berupaya melindungi orang ramai serta mempercepatkan sasaran imuniti kelompok. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas tambahan dua juta dos vaksin kepada Johor,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran melalui laman Facebook rasmi baginda.

8 Ogos lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi kenyataan dilaporkan berkata tambahan dua juta dos vaksin itu meliputi semua jenis vaksin COVID-19 yang mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diagihkan ke seluruh pusat pemberian vaksin di Johor.

Terdahulu pada 5 Ogos, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di Johor yang masih rendah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here