KUALA LUMPUR, 15 Ogos  — Semua taman rekreasi awam di negeri-negeri yang diletakkan di dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dibuka berkuat kuasa esok bagi tujuan aktiviti riadah untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan tekanan kesihatan mental.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun hanya aktiviti secara individu dibenar dilakukan seperti joging, berbasikal dan bersenam, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa Satu PPN.

“Orang ramai hanya dibolehkan mengunjungi taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja, tetapi janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain. 

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah, jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan supaya bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam terlibat untuk memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelakkan mudarat.

Sementara itu untuk sektor pelancongan pula, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung cadangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Katanya sebarang hasil daripada projek rintis ini akan dijadikan penanda aras terhadap gelembung pelancongan sebelum ia diperluaskan di destinasi pelancongan lain terutamanya yang mempunyai kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik terutama pulau peranginan lain di seluruh negara.

Muhyiddin berkata perancangan ini penting untuk merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik.

“Kementerian Kesihatan (KKM) serta pakar kesihatan menyarankan agar kerajaan melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

“Kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“Keputusannya akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini,” katanya.    

 Berikutan dengan semua kemudahan yang diumumkan hari ini, Perdana Menteri berharap ia bukan sahaja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental, malah turut membantu memulihkan semula secara berperingkat situasi khususnya sektor ekonomi.

Katanya kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP yang telah ditetapkan.

“Jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan ini, KKM akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun.

“Sekali lagi saya ingin mengingatkan, kemudahan yang diberi bukan bermakna rakyat telah mendapat kebebasan mutlak. Setiap SOP, garis panduan dan prosedur mesti dipatuhi sebaiknya,” katanya.

Selain sektor sosial dan pelancongan, Muhyiddin hari ini turut mengumumkan kemudahan-kemudahan untuk 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi negeri Fasa Satu dan 11 lagi  tambahan sektor ekonomi bagi negeri di bawah Fasa  Dua PPN bermula esok.

Selain itu semua aktiviti tidak perlu dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian di negeri Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN dibenarkan kembali beroperasi pada hari yang sama.

Negeri-negeri di Fasa Satu PPN ialah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Putrajaya; Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah) dan negeri Fasa Tiga ialah Perlis, Sarawak dan Labuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here