KOTA BHARU, 15 Ogos — Dua lokaliti di Kelantan dipilih bagi pelaksanaan Program Kawalan Denggi menerusi Projek Wolbachia dalam usaha menangani wabak denggi di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata kawasan yang terpilih bagi projek itu ialah Pondok Terusan, Pasir Tumboh dan Kubur Maras, dekat sini.

“Nyamuk aedes berwolbachia merupakan nyamuk aedes aegypti yang disuntik bakteria wolbachia, yang akan merencatkan keupayaan nyamuk tersebut menyebarkan virus denggi  dan bakteria ini juga terdapat secara alami pada serangga-serangga lain,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata projek yang dilaksanakan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu, susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti di Selangor yang menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 50 sehingga 80 peratus.

Katanya, KKM telah membelanjakan sebanyak RM120,000 atau 50 sen bagi seekor nyamuk aedes berwolbachia di setiap lokaliti dalam usaha memperkukuhkan aktiviti kawalan penyakit tersebut.

“Bagaimanapun, nyamuk aedes berwolbachia hanya berkesan terhadap nyamuk aedes aegypti yang kebiasaannya membiak di dalam rumah sebaliknya tidak memberi apa-apa kesan terhadap nyamuk aedes albopictus yang membiak di luar rumah.

“Oleh itu, penting bagi memusnahkan tempat pembiakan di luar rumah secara berkala oleh penduduk setempat,” katanya.

Dr Izani turut mengharapkan kerjasama penduduk setempat agar tidak mengalih atau mengganggu seperti membuang air atau memasukkan bahan pembunuh jentik di dalam bekas pembiakan nyamuk aedes berwolbachia atau dikenali sebagai  release container.

“Aktiviti seperti penglibatan masyarakat, kawalan pra pelepasan, pelepasan telur nyamuk berwolbachia, ovitrap montoring dan data pemantauan frekuensi populasi nyamuk berwolbachia ini memerlukan komitmen semua pihak kerana tanpa kerjasama semua, projek ini sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here