IPOH, 28 Ogos — Satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di Perak di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, Kerian ditutup pada 5 petang tadi selepas banjir pulih sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata kesemua 50 mangsa daripada 17 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak 21 Ogos lalu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Kesemua mangsa dari Kampung Matang Pasir, Kampung Parit Simpang Lima, Kampung Parit Simpang Empat, Kampung Baru dan Kampung Matang Tengah telah dibenarkan pulang dan PPS tersebut ditutup sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat meminta kerajaan negeri atau agensi terlibat supaya menubuhkan sebuah pasukan pemantau khas bagi memantau struktur ban di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kerian untuk mengelak kejadian banjir berulang di kawasan tersebut.

Beliau berkata pasukan itu hendaklah dianggotai jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), agensi berkaitan, penghulu dan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK) yang akan berfungsi bagi mengenal pasti struktur ban sama ada terdapat keretakan dan sebagainya.

“Usaha ini juga dapat membantu JPS mengambil tindakan awal untuk membaik pulih ban jika ada struktur yang mengalami masalah.

“Pengawasan awal boleh membendung kejadian ban pecah akibat dilanda arus deras seperti kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas melawat Program Outreach Vaksin di Nibong Hangus dekat sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here