MELAKA, 1 Sept — Jabatan Imigresen Melaka menahan 52 lelaki warganegara Bangladesh dan Myanmar dalam serbuan menerusi Op Sapu di tapak pembinaan kondominum di Kota Laksamana, di sini awal hari ini.

Pengarahnya Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata serbuan pada kira-kira 1.30 pagi di lokasi yang dipercayai dijadikan sebagai penempatan pekerja warga asing itu dilakukan berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan berkaitan kebanjiran warga asing.

“Kesemua mereka membabitkan 41 warganegara Bangladesh dan 11 warganegara Myanmar berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun serta mempunyai pelbagai kesalahan imigresen.

“Individu-individu yang ditahan itu merupakan antara 134 orang warga asing yang diperiksa dan dipercayai bekerja sebagai buruh pembinaan di kawasan sekitar dengan selebihnya dibebaskan berikutan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anirwan Fauzee berkata ketika serbuan dilakukan, kesemua warga asing itu sedang nyenyak tidur sekali gus tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dan kawasan tersebut yang dikepung. 

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, PLKS tamat tempoh dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Hasil pemeriksaan di lokasi itu juga mendapati majikan gagal menyediakan penempatan warga asing selaras peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Keadaan asrama yang sesak dan persekitaran kotor berisiko terdedah kepada penyakit berjangkit. Satu Borang Saman Kepada Saksi (Borang 29) juga dikeluarkan kepada wakil majikan untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Melaka Tengah bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here