KUALA LUMPUR, 11 Sept — Jenazah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, kira-kira 5.30 petang tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Bukit Aman, di sini, pada kira-kira 3.30 petang untuk disembahyangkan.

Selain anggota keluarga, turut hadir pada upacara memberi penghormatan terakhir dan pengebumian Allahyarham ialah pegawai dan anggota polis.

Bercerita mengenai Allahyarham, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berkata arwah tidak mencuri tulang ketika bertugas dan itu merupakan antara sifatnya yang perlu dicontohi terutama bagi pegawai serta anggota polis masa kini.

Beliau berkata Allahyarham juga sentiasa proaktif meskipun sudah bersara daripada perkhidmatan polis.

“Ia satu kehilangan buat masyarakat kita. Walaupun sudah pencen, beliau tetap aktif (misalnya bergiat aktif dengan menjadi Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan lain-lain persatuan dan organisasi).

Sesetengah orang apabila telah pencen, terus tidur (tidak aktif) tetapi tidak bagi Allahyarham yang mana ingin terus berkhidmat kepada masyarakat menggunakan kepakaran, ilmu dan pengalamannya,” kata Hanif   kepada pemberita selepas menghadiri pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan dilakarkan Allahyarham termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu atau Bentong Kali.

“Kehilangannya cukup besar bagi saya kerana kami sudah seperti adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan Allahyarham sebagai pegawai kanan polis yang aktif menangani banyak kes jenayah berat serta terlibat mengendalikan kes  Highland Towers runtuh sewaktu menjadi Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

“Allahyarham seorang pegawai kanan polis yang berpengalaman berkaitan jenayah dan terrorisme,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Musa Allahyarham adalah seorang pegawai kanan polis yang telus dan tegas dalam menjalankan tugas dan sentiasa membantu serta suka berbincang dengan anggota bawahannya dalam melakukan penugasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here