SEKINCHAN, 13 Sept — Pematuhan penjualan Kit Ujian Kendiri COVID-19 pada harga siling bawah RM20 ditahap tertinggi berikutan belum ada tindakan dan amaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sehingga hari ini.

Pengarahnya Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata walaupun terdapat dua aduan berhubung kit ujian kendiri dijual melebihi harga ditetapkan, tiada tindakan susulan dikenakan kepada peniaga tersebut.

“Kedua-dua aduan itu kami terima di daerah Petaling melibatkan kawasan Shah Alam. Apabila kami buat semakan terhadap aduan itu, didapati peniaga tersebut mematuhi arahan yang dikeluarkan maka tiada tindakan dikenakan. 

“Berdasarkan data bermula 5 Sept lepas hingga hari ini, kami telah lakukan pemeriksaan di 564 premis meliputi sektor pengedaran, pemborong dan peruncitan bagi kit ujian kendiri di Selangor. Rata-rata peniaga telah menetapkan harga kurang daripada harga kawalan,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 di farmasi-farmasi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Zikril Azan berkata setakat ini bekalan stok kit tersebut mencukupi berdasarkan kutipan data yang dilaksanakan pihaknya setiap hari.

Beliau turut meminta pengguna membuat aduan sekiranya wujud pelanggaran harga jualan Kit Ujian Kendiri COVID-19 sama ada di premis atau dalam talian dengan menghubungi call centre 1800 886 800; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088: WhatsApp ke 019- 279 4317 atau hadir ke mana-mana tujuh pejabat KPDNHEP di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here