SANDAKAN, 15 Sept  — Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan konsep ‘Keluarga Malaysia’, ia sebenarnya amat sesuai dengan sambutan hari lahir negara yang menjelang tiba.

“Ini rumah kita. Kita adalah satu keluarga besar,” kata ahli perniagaan terkenal Sandakan Datuk Thomas Lau, 72, ketika kembali mengimbas momen 58 tahun lepas.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata keluarga adalah definisi yang menggambarkan kita sebagai rakyat Malaysia pada hari ini.

“Menjadi warganegara adalah kenangan terindah saya yang membolehkan kita menyebut diri kita sebagai rakyat Malaysia…bebas daripada penjajahan.

“Saya berusia 14 tahun, baru memasuki sekolah menengah, ketika saya mendengar Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuat pengisytiharan bahawa Malaysia dilahirkan,” katanya.

Seperti remaja lain yang lahir dan hidup di bawah era kolonial hingga peristiwa bersejarah tanggal 16 Sept, Lau dengan penuh penghargaan dan aspirasi bahawa Malaysia akan matang sepenuhnya dan terus maju dengan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.

Kepelbagaian itulah yang melambangkan toleransi, persefahaman dan kehidupan aman damai, katanya.

“Justeru, harapan saya generasi muda turut serta dalam pembangunan negara, menjadikan Malaysia sebuah negara cergas, makmur dan progresif yang mana dunia akan menghormati kita kerana keprihatinan terhadap maruah dan hak asasi manusia serta mengutamakan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Aliza Alawi, 28, yang lahir selepas 30 tahun penubuhan Malaysia, berkata adalah sukar baginya untuk menggambarkan kehidupannya jika berada di bawah pemerintahan penjajah.

“Namun, ketika pandemik COVID-19, mungkin ini boleh menggambarkan apa yang dihadapi oleh rakyat sebelum merdeka yang mahukan kebebasan.

“Tiada maknanya jika sihat tanpa kebebasan (daripada pandemik). Kita perlukan kedua-duanya – kesihatan yang baik dan kebebasan untuk kita terus meraikan hari bersejarah seperti Hari Malaysia,” katanya.

Ketika negara berusaha menghapuskan COVID-19 dan kembali kepada kehidupan asal, Aliza juga mengimbau kenangan sambutan Hari Malaysia setiap tahun ketika zaman persekolahan, yang mana kebanyakan kanak-kanak tidak berpeluang meraikannya sejak tahun lepas.

“Bukan semua mereka dapat merasainya ketika bersekolah. Jadi, hargailah momen-momen itu apabila berpeluang,” katanya.

Justeru, Aliza mengajak orang ramai agar bersama-sama berjuang untuk memenangi peperangan melawan COVID-19 dengan menyebar maklumat mengenai kebaikan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi memastikan negara kembali ke landasan untuk mencapai kemajuan lebih hebat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here