KOTA KINABALU, 15 Sept — Hujan lebat yang berterusan sejak 12.30 tengah hari tadi menyebabkan berlaku tanah runtuh di Jalan Segumau Madsiang, Jalan Penampang-Tambunan, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata anggota bomba bersama Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamat mangsa.

Berdasarkan video lokasi kejadian yang dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp, beberapa penduduk kampung dilihat membantu mangsa yang berada di kawasan itu selain tiga kereta turut terjejas dalam kejadian pada kira-kira 3.30 petang itu.

Misran berkata setakat ini pihaknya sedang dalam proses menyelamat mangsa di Kampung Bantayan, Inanam dan menasihatkan orang ramai supaya berpindah ke kawasan tinggi sebelum paras air semakin meningkat.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Penampang memaklumkan, kejadian menjejaskan 13 kampung di daerah itu manakala sembilan jalan raya turut dinaiki air.

Antara kampung itu ialah Kampung Kolopis, Kampung Baru Luyang, Bundusan, Jabatan Pengangkutan Jalan Bundusan, Penampang Proper, Kampung Sugud, Kampung Inobong, Kampung Kambau, Taman Manis, Kampung Nambazan, Kampung Dungkahang, Taman Sahabat dan Kampung Tuavon.

Menurut sekretariat itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang dibuka pada 3.30 petang tadi dan menempatkan lima orang mangsa banjir.

Melalui laman sosial Facebook pula, rata-rata pengguna yang sedang berada di jalan raya berkongsi video mengenai keadaan premis dan jalan raya di Bundusan dan Pavillion di Penampang yang ditenggelami air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here