SINGAPURA,  7 Ogos — Singapura sedang menyemak semula dasar pembayaran rawatan COVID-19 bagi mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara di bawah aturan perjalanan yang dibenarkan bermula hari ini.

Aturan perjalanan yang dibenarkan merangkumi Lorong Hijau dan Pantas yang sedang dilaksanakan, juga mana-mana aturan perjalanan yang mungkin dilaksanakan pada masa depan. 

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan republik itu Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian berkenaan COVID-19, pada sidang media secara maya di sini, semalam.

Gan berkata pelawat akan dapat memanfaatkan aturan pembiayaan penjagaan kesihatan secara berkala untuk bil perubatan pesakit, “jika mereka mengalami gejala dalam masa 14 hari selepas kembali ke Singapura dan perlu dimasukkan ke wad kerana disyaki mendapat jangkitan COVID-19”. 

Dalam kata lain, warga Singapura dan penduduk tetap layak mendapat subsidi kerajaan dan pelan perlindungan  MediShield Life/Integrated Shield Plans, namun akan diminta membayar baki bayaran bersama.

Sementara itu, pemegang pas jangka panjang, boleh memanfaatkan aturan kewangan mereka seperti insurans pekerja asing, jika boleh diguna pakai. 

Singapura sebelum ini mempunyai aturan perjalanan dengan China dan akan mempunyai dua skim perjalanan —  Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) — bersama Malaysia, dijadual dilancarkan pada 17 Ogos.

Republik itu sebelum ini mengeluarkan nasihat perjalanan, iaitu kepada mereka yang akan melakukan perjalanan ke luar negara bermula 27 Mac dan seterusnya disyaratkan membayar sepenuhnya bil perubatan mereka sendiri jika dimasukkan ke wad  sekiranya mereka mengalami gejala dalam masa 14 hari setelah kembali ke Singapura.

Pasukan petugas menyatakan pelawat yang tidak tertakluk di bawah aturan perjalanan yang dibenarkan dan melanggar nasihat perjalanan itu dengan melakukan perjalanan perlu membayar sepenuhnya bil perubatan COVID-19 mereka tanpa akses pada subsidi dan Pelan perlindungan.  

Pemegang pas jangka pendek yang memasuki Singapura di bawah aturan perjalanan yang dibenarkan akan kekal bertanggungjawab terhadap bil perubatan mereka jika diuji positif COVID-19, tambahnya.

Berhubung persoalan membenarkan pemegang pas kerja yang dibenarkan di bawah skim perjalanan PCA dengan Malaysia diberikan  Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sekurang-kurangnya tujuh hari, Gan berkata Singapura telah membuat “penilaian holistik” sebelum membuat keputusan itu.

Beliau berkata republik itu mengguna pakai pendekatan pengurusan risiko dengan mengambil kira penilaian profil risiko dari mana pelawat datang serta langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh negara lain.

“Berdasarkan asas risiko itu, kami kemudian akan menentukan langkah-langkah pencegahan yang kami perlu laksanakan,” katanya.

Gan berkata ini kerana Malaysia adalah negara yang kadar prevalens dicatatnya hampir sama dengan di Singapura, dan dalam sesetengah kes lebih rendah daripada kadar prevalens di Singapura.

“Oleh itu, risiko jangkitan adalah agak serupa dengan rakyat Singapura,” kata menteri itu.

Selain perlu menjalani SHN sekurang-kurangnya tujuh hari, Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap yang mempunyai pas kerja Singapura yang sah juga perlu menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR)  COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here