KUALA LUMPUR, 21 Sept  — Malaysia hari ini mencatatkan perkembangan membanggakan apabila berjaya mencapai 80 peratus populasi dewasa di negara ini yang lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran.

Mengikut sasaran awal, peratusan itu hanya akan dapat dicapai menjelang hujung bulan hadapan sebelum negara beralih memasuki fasa endemik COVID-19.

Komitmen tinggi dan iltizam kerajaan, serta pengorbanan pasukan barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 sejak setahun lalu, kini membuahkan hasil dengan kadar kebolehjangkitan (RT) pandemik berkenaan setakat 19 Sept lepas, berada di tahap 0.92.

Kejayaan ini juga turut disumbang oleh sokongan jitu Keluarga Malaysia, yang bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

Malah kapasiti dan penggunaan katil COVID-19 di hospital sehingga semalam juga turut menyaksikan trend penurunan, iaitu sebanyak 76 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 68 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU.

Dengan perkembangan positif itu, rakyat yang telah melengkapkan vaksinasi mereka mula menikmati lebih banyak kelonggaran dengan pembukaan pelbagai sektor termasuk sukan dan pelancongan, yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab oleh kerajaan.

Ia dimulakan dengan kelonggaran makan di kedai atau premis makanan yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Kejayaan vaksinasi merangsangkan pembukaan gelembung pelancongan domestik dengan Langkawi, Kedah menjadi projek rintis, sebelum disusuli pembukaan semula pulau-pulau lain yang sekian lama merindukan kedatangan pelancong.

Malah kejayaan gelembung pelancongan Langkawi itu akan membuka destinasi pelancongan lain seperti River Cruise Melaka serta Pulau Tioman dan Genting Highlands di Pahang, pada 1 Okt ini.

Dan pastinya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mampu tersenyum lebar saban hari, dengan pembukaan tempat-tempat pelancongan secara berperingkat.

Sektor sukan yang sebelum ini menyaksikan operatornya khususnya membabitkan aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor sports) hidup dalam kesukaran, kerana terikat dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mula menikmati kemudahan dan kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Pada 15 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi kawasan terbuka dan tertutup, dibenarkan kepada individu telah lengkap vaksin menerusi tempahan, di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dan pastinya aktiviti sukan di tempat terbuka (outdoor) seperti di stadium akan menyusul tidak lama lagi dan peminat perlawanan bola sepak akan kembali menikmati sukan kegemaraan mereka.

Rentas daerah telahpun dibenarkan di negeri yang memasuki Fasa Dua dan ke atas PPN, kecuali Kedah dan Johor.

Aktiviti rentas negeri pula menunggu masa untuk diberi kelonggaran kerana tanda-tanda sudah kelihatan bemula dengan kumpulan gelembung pelancongan, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang telah lengkap vaksinasi ingin bertemu anak berusia 18 tahun ke bawah.

Selepas mencapai sasaran 80 peratus vaksinasi itu, usaha kerajaan kini tertumpu kepada baki 20 peratus individu dewasa serta program PICK Remaja, yang dimulakan secara rasmi semalam dengan sasaran penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here