KUALA BERANG, 25 Sept — Memberi penerangan tentang kepentingan vaksin COVID-19 kepada Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini bukanlah mudah, namun komitmen berterusan petugas kesihatan di Terengganu yang tidak berputus asa akhirnya berjaya memujuk mereka.

Hari ini, seramai 327 Orang Asli di kampung itu menerima vaksin dos tunggal CanSino hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Berua Alias Pelong berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan, kerana tidak meminggirkan mereka dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Sebelum ini, ramai Orang Asli yang takut divaksin kerana risau akan mati kerana baca maklumat tidak tepat yang disebarkan di WhatsApp. Ada juga yang menolak sebab risau kesan sampingan seperti demam teruk.

“Sebagai Pengerusi JPKK, saya ambil tanggungjawab pergi ke rumah mereka untuk cerita kebaikan vaksin. Bila petugas kesihatan datang dan terangkan apa kepentingan vaksin barulah mereka setuju,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagi Hawa Jusoh, 31, beliau berasa lebih lega dan selamat setelah menerima suntikan vaksin ini kerana ia akan memudahkan urusannya, jika mahu pergi ke bandar.

“Sebelum ni susah masuk mana-mana kedai sebab belum cucuk (vaksin). Lepas ni lebih senang sebab saya boleh buat macam-macam urusan di bandar yang telah lama tertangguh,” kata ibu kepada empat anak itu.

Sam Kulim, 31, pula berkata beliau akur menerima vaksin memandangkan COVID-19 masih belum reda ketika ini dan faham hanya vaksin sahaja langkah pencegahan berkesan buat masa sekarang.

“Sebelum ini tak berminat untuk menerima vaksin namun saya ubah fikiran demi keselamatan diri dan keluarga. Lagipun, hanya perlu satu kali suntikan sahaja. Doktor kata boleh kembali bekerja masuk hutan sekiranya tidak demam selepas disuntik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata seramai 747 Orang Asli terlibat dalam program vaksinasi di negeri itu iaitu 327 orang di Sungai Berua, Hulu Terengganu; 398 orang di Sungai Pergam, Kemaman dan 22 orang di Hulu Besut.

“Hari ini vaksinasi di Sungai Berua, esok di Sungai Pergam, Kemaman manakala di Hulu Besut, ia telah selesai pada bulan lepas. Selain menerima vaksin COVID-19, kita turut membuat pemeriksaan kesihatan iaitu penyakit kusta dan pergigian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here