KUALA LUMPUR, 23 Nov  — Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengucapkan tahniah kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) atas pencapaian mencatatkan 10 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam pengendalian kontena hari ini.

Wee berkata pengendalian kontena di pelabuhan itu telah melepasi sasaran sembilan juta TEU dalam Aspirasi 2 di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Teras 1 iaitu Menstruktur Semula Ekonomi Negara.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga PTP atas prestasi yang membanggakan ini. Hari ini, 23 Nov 2021, PTP telah berjaya dalam pengendalian kontena apabila mencapai 10 juta TEU pada jam 7 pagi tadi,” tulis Wee dalam catatan Facebooknya hari ini.

TEU adalah unit anggaran untuk kapasiti kargo yang sering digunakan untuk mengukur kapasiti kapal kontena dan terminal kontena. Satu TEU adalah kapasiti kargo untuk kontena yang berukuran 20 kaki panjang, lapan kaki lebar dan lapan kaki tinggi.

PTP telah mengendalikan 9.85 juta TEU pada tahun lepas. 

“Namun, ketika ini kita belum pun melangkah ke penghujung tahun iaitu 31 Dis 2021 lagi, PTP telah berjaya melepasi 10 juta TEU.

“Ini merupakan pencapaian terbaik yang pernah direkodkan sejak penubuhan PTP,” katanya.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan adalah bagi memastikan prestasi pengendalian kontena di pelabuhan utama negara adalah pada tahap optimum seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negara (KDNK) melalui sektor pengangkutan laut.

“Walaupun berdepan cabaran dan kesan akibat COVID-19 yang melanda dunia, PTP telah berjaya merekodkan pertumbuhan dalam perniagaannya dan menunjukkan prestasi baik dalam pengurusan menerusi pelan strategik mereka.

“Kesungguhan dan kerja berpasukan semua pihak yang terlibat termasuk pihak pengurusan Lembaga Pelabuhan Johor dan Bahagian Maritim MOT kini membuahkan hasil. Sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here