SHAH ALAM, 27 Dis — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar. 

Amirudin berkata kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

Beliau juga memaklumkan tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyebabkan  banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media semalam.

“Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang diperolehi saya, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di negeri ini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja-kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini telah memutuskan sebuah ban di kampung itu lalu menyebabkan air melimpah.  

“Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here