SEREMBAN, 23 April — Kerajaan sedang membincangkan kelonggaran tiga perkara utama dalam prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19 yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga perkara utama itu melibatkan pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera setiap kali memasuki premis serta ujian pengesan COVID-19.

Katanya perkara itu masih dalam penilaian dan perbincangan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita akan umumkan nanti…berita baiklah, bila longgar mesti rakyat gembira. Mungkin kita akan tengok dari segi mask (pelitup muka), jadi KKM akan melihat dari segi pro dan kontra mengenai itu.

Dari segi MySejahtera pula, perlu atau tidak untuk mengimbas di mana-mana premis, manakala di lapangan terbang, bila balik sama ada perlu atau tidak membuat ujian PCR (tindak balas rantai polimerase masa nyata)  atau RTK Antigen (Kit Ujian Pantas Antigen). Perkara ini KKM sedang berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke sebuah rumah kebajikan di sini hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengambil pandangan kerisauan rakyat sekiranya SOP terlalu longgar.

Semalam media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata lebih banyak kelonggaran SOP dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here