KANGAR, 23 April — Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa  yakin masih terdapat ruang kerjasama antara UMNO dan PAS  menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi  menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15 ) akan datang.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata oleh itu beliau tidak berputus asa dan beranggapan bahawa kebuntuan yang berlaku antara kedua-dua parti itu ketika ini hanya bersifat sementara dan jalan-jalan bagi memperkukuhkan hubungan perlu diteruskan.

“Sebagai seorang ahli politik lama dan banyak kali berlawan dengan PAS  dalam PRU, saya dapati  MN  adalah anugerah Allah apabila UMNO dan PAS dapat bekerjasama.

Oleh itu kita tidak boleh berputus asa berusaha bagi mengekalkan hubungan silaturrahim libatkan kedua-dua parti  ini walaupun pada masa ini terdapat sedikit kerenggangan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin di Kompleks PAS Negeri Perlis hari ini.

Beliau berkata adalah sayang jika MN hanya berada di pertengahan jalan dan tidak dibawa sehingga ke PRU kerana tujuannya adalah hendak kuasai  PRU.

“Kita buat MN dengan tujuan hendak kuasai pilihan raya akan datang, tiba-tiba bila ada senjata yang bagus di tangan kita bagi memasuki medan perang, dicampak begitu saja,” katanya

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata dalam memorandum persefahaman (MoU) MN yang dimeterai sebelum ini terdapat satu frasa  bahawa sekiranya terdapat pertikaian atau masalah dalam kerjasama UMNO dan PAS perlu diselesaikan seperti piagam Madinah.

Katanya seperti piagam Madinah, jika ada sebarang pertikaian kembalilah merujuk al-Quran dan hadis sebagai rujukan bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Roh dan semangat itu (piagam Madinah)  penting bukan hanya dalam politik tetapi dalam kehidupan kita menyelesaikan masalah dan pertelingkahan dengan kembali kepada al-Quran dan hadis,” katanya.

Sementara itu Hashim berkata  beliau seolah-olah mendapat semangat dan tenaga baharu dalam usaha menyelamatkan perpaduan ummah ini selepas bertemu Annuar dan membincangkan berhubung soal itu.

“Saya berazam dengan rakan-rakan, apa pun ada halangan di hadapan kita akan teruskan perjuangan ke arah perpaduan ini (MN),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here