MELAKA, 18 Mei — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengesan 7,564 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam kawasan negeri itu sepanjang 10 hari pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 29 April lepas.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata daripada jumlah itu 2,834 kesalahan memandu melebihi had laju dikesan bagi daerah Alor Gajah di Kilometer (KM) 214.4 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan dan di KM214.4 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara (2,679 kesalahan).

Beliau berkata kesalahan memandu melebihi had laju merupakan antara lima kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang telah ditetapkan bahawa pesalah tidak akan dikompaun lagi, sebaliknya terus dikenakan tindakan mahkamah.

Katanya pemandu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya sabit kesalahan, dan pemandu terlibat akan mendapat surat saman dalam tempoh sebulan, manakala denda perlu diselesaikan di mahkamah yang ditetapkan.

“Dalam tempoh 10 hari Op HRA dilaksanakan itu, jumlah saman tertinggi yang dikeluarkan menerusi kamera AwAS berkenaan adalah pada 2 Mei atau hari raya pertama iaitu 1,213 kesalahan dikesan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Sesi Lelongan Awam Kenderaan Sita di sini hari ini.

Sementara itu Muhammad Firdaus berkata 30 kenderaan sita dilelong pada sesi lelongan awam yang dijalankan selama empat jam bermula 8.30 pagi tadi melibatkan hasil jualan sebanyak RM240,610.

Katanya daripada 30 kenderaan itu, 21 ialah kereta, motosikal (lapan) serta semi treler (satu) dan terdapat lima kenderaan mendapat bidaan tertinggi iaitu Honda Civic (RM30,100), Subaru Impreza (RM30,000), Honda Odyssey (RM28,500), Toyota Wish (RM27,100) dan sebuah lagi Toyota Wish (RM23,100).

“Hanya 21 daripada keseluruhan kenderaan itu boleh dilesenkan manakala sembilan lagi dijual sebagai kenderaan skrap atau aksesori dan sesi bidaan dihadiri 58 orang. Kereta Subaru Impreza mendapat bidaan paling banyak dan bidaan dibuka pada harga RM5,000 sebelum naik kepada RM30,000,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here