BEIJING, 1 Jun — Pembinaan dunia yang saling berhubung, inklusif dan berkongsi keselamatan merupakan tanggungjawab bersama China dengan Amerika Syarikat (AS) ,kata Menteri Luar China, Wang Yi pada Rabu.

Beliau berkata hubungan kedua-dua negara menghadapi semakin banyak cabaran dengan sejarah hubungan China-AS sering kali diputarbelitkan, selain hala tuju perkembangan berdepan risiko tersasar daripada landasan yang sebenarnya. 

Justeru, katanya kedua-dua pihak perlu memperbetul kefahaman, mengetepikan pemikiran Perang Dingin, memperkukuh asas politik, mengawal perselisihan, mengelakkan diri daripada persaingan dan mempertingkat interaksi serta kerjasama.

“Misi utama China adalah membangun demi kesejahteraan rakyat dan jika AS terus mendefinasi hubungannya dengan China sebagai persaingan antara negara besar serta mementingkan kemenangan, maka kedua-dua negara akan berkembang ke arah pertentangan dan konflik sehingga mendorong dunia kepada pergolakan,” katanya ketika berucap pada Simposium Henry Alfred Kissinger dan Hubungan China-AS secara maya.

Wang turut menghormati tokoh seperti Kissinger yang memberi perhatian dan menyokong perkembangan hubungan China-AS.

Sementara itu Kissinger, kekas setiausaha negara AS berkata China dan AS sebagai negara besar perlu menetapkan prinsip yang boleh mengelakkan permusuhan.

Beliau mencadangkan kedua-dua pihak mengadakan dialog untuk menekankan kepentingan teras masing-masing serta berharap dialog antara kedua-dua negara akan membawa kelestarian keamanan kepada AS, China dan sejagat.

Untuk rekod, simposium itu dianjurkan Persatuan Diplomatik Rakyat China sempena ulang tahun ke-99 Kissinger.

Peserta simposium turut mengambil kesempatan mengimbau kembali usaha dilakukan Kissinger dalam mendorong pembangunan hubungan China-AS serta membincangkan isu melibatkan kedua-dua negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here