PUTRAJAYA, 10 Jun — Pasukan khas yang terdiri daripada pegawai imigresen akan diwujudkan bagi memproses dan meluluskan permohonan pasport secara dalam talian di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata langkah itu antara penambahbaikan yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan ekoran peningkatan mendadak permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Beliau berkata pasukan itu akan ditempatkan di pejabat imigresen sekitar Lembah Klang minggu hadapan selepas pelaksanaannya di Johor Bahru, Johor baru-baru ini menampakkan keberkesanan untuk mempercepatkan proses, sekali gus mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter imigresen.

“Nampaknya ia berjaya dan formula itu (di Johor Bahru) akan digunakan untuk Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata Jabatan Imigresen sedang mengumpulkan pegawai dari beberapa negeri untuk menganggotai pasukan itu bagi penempatan di Lembah Klang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here