KUALA LUMPUR, 18 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, negara perlu terus berusaha melahirkan graduan anak tempatan untuk mengisi profesion bernilai tinggi dalam bidang strategi pertahanan dan keselamatan yang semakin dinamik.

Justeru titah baginda pihak berkenaan, seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu terus meneroka bidang ilmu terbaharu, bagi menentukan negara sentiasa mempunyai barisan pemikir dan sarjana, yang berupaya merangka pelan jangka panjang bagi melindungi kepentingan strategik negara. 

“Semua rakan strategik UPNM, khususnya Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan industri pertahanan, untuk terus mengukuhkan sinergi yang telah terbentuk erat demi menjulang UPNM ke tahap yang tinggi,” titah Seri Paduka sempena Istiadat Konvokesyen ke-11, sidang pertama, UPNM di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dan Naib Canselor UPNM Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM turut bertitah negara perlu dilengkapi aset pertahanan dan keselamatan yang moden dan berteknologi tinggi.

Titah baginda ia bagi menghadapi cabaran landskap keselamatan yang melalui pelbagai evolusi dan semakin kompleks, melibatkan ancaman baharu dalam bentuk siber dan elektronik.

“Justeru strategi bersepadu wajar dirangka bagi menentukan Malaysia mempunyai ekosistem digital yang kukuh, agar negara terus berdaya saing dalam mendepani transformasi dunia ke arah digital,” Seri Paduka.

Menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan yang berjaya menamatkan pengajian kali ini, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian UPNM yang terus unggul mendominasi carta kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti awam.

“Ini jelas membuktikan bahawa universiti ini telah berupaya dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan bersahsiah unggul,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here