BEIJING, 23 Jun — Situasi antarabangsa yang mengalami perubahan ketika ini tidak akan mengubah trend keterbukaan dan pembangunan, serta aspirasi untuk bersinergi dalam merungkai cabaran, kata Preseiden China, Xi Jinping.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Fahami Trend Terkini, Bina Masa Depan Lebih Cerah’, secara maya di Forum Industri dan Perniagaan BRICS pada Isnin. 

Xi menegaskan bahawa negara-negara BRICS perlu berganding bahu bagi memelihara kedamaian dan kestabilan dunia, memacu pembangunan lestari global, mewujudkan situasi sama menang menerusi kerjasama, di samping memperluas keterbukaan dan keterangkuman.

Beliau berkata China akan berusaha mewujudkan pembangunan berkualiti tinggi dengan berpandukan konsep pembangunan baharu, sambil mempercepat pembentukan paradigma pembangunan baharu.

Jelas Xi, China juga komited mempertingkat tahap keterbukaan, dan terus mengoptimumkan iklim perniagaan yang berorientasikan pasaran, berlandaskan undang-undang serta bersifat antarabangsa.

Beliau menyifatkan mekanisme kerjasama BRICS sebagai wadah penting kepada kerjasama dengan negara pasaran baru muncul dan negara membangun.

Xi berharap bahawa para usahawan dapat terus menyumbang kepada pembangunan yang terbuka, inovatif dan dapat dikongsi, agar lebih banyak hasil pembangunan dapat dinikmati semua rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here