SEREMBAN, 2 Julai — Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkuat kuasa semalam.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Sharifudin mempunyai pengalaman dan kelayakan dan mampu meneraju USIM sebagai universiti pilihan serta melonjakkan kecemerlangan akademik negara secara keseluruhan.

Sharifudin, 51, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Makanan dengan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia selain lulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Makanan dari University of Reading, United Kingdom.

“Beliau juga mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dari University of Cambridge, United Kingdom dalam bidang Kimia Perubatan selain pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama sembilan tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu Sharifudin pernah memegang jawatan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM pada 16 Feb lepas,” katanya.

Sharifudin turut diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Naib Canselor USIM berkuat kuasa 10 Mei lepas dan kementerian juga merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor USIM Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin atas jasa bakti selama menerajui USIM sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here