KUALA TERENGGANU, 2 Julai — Setelah dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, kerajaan Terengganu akan menganjurkan semula Majlis Walimatulurus Perdana untuk membantu bakal pengantin berkahwin secara percuma bermula September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata program itu bertujuan membantu meringankan beban ahli keluarga yang tidak berkemampuan serta menggalakkan perkahwinan semula ibu dan bapa tunggal di Terengganu.

“Majlis akad nikah dan resepsi pengantin akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan pengantin yang terpilih tidak perlu mengeluarkan wang perbelanjaan kerana semuanya ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Antara manfaat semasa program (majlis akad nikah dan resepsi) yang akan diterima oleh setiap pasangan ialah satu set persalinan akad nikah, khidmat jurunikah, pelamin, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar, jemputan jamuan khas pengantin bersama keluarga terdekat serta cenderahati untuk tetamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak dimulakan pada 2016 hingga 2019, seramai 1,167 pasangan telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Selain itu, beliau berkata bakal pengantin yang terdiri daripada ibu atau bapa tunggal layak menerima insentif RM1,000 setiap seorang. 

“Bagi pasangan belia, mereka ditawarkan Skim Pinjaman Modal Perniagaan di bawah Skim Pinjaman Jaya Diri (PJD) dengan jumlah maksimum RM20,000 kepada yang berminat dan layak,” katanya.

Bakal pengantin yang berminat boleh melayari laman web rasmi atau menghubungi YPKT daerah masing-masing untuk maklumat lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here