PETALING JAYA, 4 Ogos — Satu tinjauan kesihatan akan dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) Kementerian Kesihatan (KKM) bermula dari 9 Ogos hingga 31 Okt depan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status kesihatan wanita, ibu dan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi: Kesihatan Ibu dan Anak (NHMS MCH) itu adalah yang kedua selepas tinjauan pertama pada 2016, melibatkan kira-kira 14,000 isi rumah merangkumi 32,000 responden dan sebanyak 70 pasukan pengumpul data akan menjalankan aktiviti pengumpulan data secara serentak.

Beliau berkata topik utama NHMS MCH meliputi penjagaan kesihatan wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun semasa prakehamilan, semasa mengandung, kelahiran dan selepas kelahiran serta status kesihatan kanak-kanak di bawah umur lima tahun seperti liputan imunisasi, status pemakanan dan penjagaan kesihatan oral.

“Skop tambahan dalam NHMS MCH kali ini ialah keganasan pasangan intim, amalan perancang keluarga, keguguran atau pengguguran dan keraguan terhadap vaksin,” katanya pada sidang media selepas melancarkan NHMS MCH di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Azmi skop tambahan dalam tinjauan itu dipilih berikutan peningkatan kes keganasan rumah tangga beberapa tahun kebelakangan ini manakala keraguan vaksin disebabkan kebimbangan melampau ibu bapa. 

“Kebanyakan wanita malu dan tidak mahu bercerita banyak (tentang penderaan yang dialami), tetapi apabila mereka ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan terbongkar pengalaman mereka kerana kesan tumbukan yang boleh dilihat oleh staf pusat kesihatan.

Keraguan vaksin oleh ibu bapa menjadi antara sebab peratusan kanak-kanak yang divaksin tidak konsisten kerana kebanyakan mereka lebih mempercayai kata orang lain daripada pakar kesihatan,” katanya.

Antara hasil dapatan tinjauan pertama pada 2016 menunjukkan secara keseluruhan 86.4 peratus kanak-kanak telah disahkan lengkap vaksinasi primer pada umur 12 bulan dan hanya 47.1 peratus bayi kurang enam bulan diberikan susu ibu secara eksklusif berbanding lebih 50 peratus sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi kesihatan ibu pula, sebanyak 97.4 peratus responden menerima penjagaan semasa hamil sekurang-kurangnya empat kali lawatan dan didapati 12.7 peratus mengalami kemurungan selepas kelahiran.  

Sehubungan itu Dr Noor Azmi berharap NHMS MCH pada tahun ini dapat membekalkan tren terkini data kesihatan berdasarkan bukti  yang menyeluruh berkaitan tahap kesihatan wanita, ibu dan kanak-kanak bagi membolehkan KKM menilai program kesihatan sedia ada seterusnya memperkukuhkan lagi perkhidmatan khusus untuk golongan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here