BALIK PULAU, 15 Jun — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan tidak berlaku lambakan durian pada tahun ini, walaupun musim raja buah itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperketatkan sekarang ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Mohamad Mustahapa Awang berkata, pihaknya telah menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu golongan peniaga dan pengusaha kebun memasarkan buah durian di seluruh negara, serta eksport ke beberapa negara.

“Daripada pemantauan dilakukan mendapati, trend pengeluaran durian semasa di Balik Pulau sedang meningkat dan dijangka akan memuncak pada hujung bulan ini, serta dijangka musim kali ini berakhir awal Ogos nanti.

“Di Pulau Pinang, dusun durian tertumpu di Balik Pulau dengan keluasan 2,538 hektar dan jangkaan pengeluaran pada tahun ini sebanyak 8,212.50 tan, varieti popular ialah udang merah, hor lo, musang king serta duri hitam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pengumpulan Ladang Durian (PPL) Jalan Sungai Pinang di sini hari ini.

Katanya terdapat beberapa inisiatif antaranya, cabang khidmat pemasaran yang disediakan FAMA antaranya menyediakan pasar segar terkawal dan pemasaran di 984 rangkaian ‘outlet’ milik FAMA yang terdapat di seluruh negara, untuk jualan durian secara terus.

Mohamad Mustahapa berkata, raja buah yang dinantikan ramai itu juga boleh didapati melalui portal Agrobazaar.com dan Shopee.

“Kami juga membuat pemantauan di peringkat ladang dan borong, dan mendapati tiada lambakan durian yang berlaku ketika ini, malah kemungkinan tidak mencukupi untuk pasaran negara kerana orang ramai memang menantikan buah durian daripada Balik Pulau,” katanya.

Sementara itu, katanya FAMA menyasarkan 35,000 tan durian tempatan bakal dipasarkan ke luar negara iaitu Singapura, Hong Kong, China, Amerika Syarikat dan Australia, berikutan permintaan tinggi di sana dengan nilai eksport RM100 juta pada tahun ini.

“Pada tahun lepas, negara mengeksport kira-kira 30,000 tan durian dengan nilai eksport RM92.3 juta. Tahun ini sasarkan jumlahnya meningkat iaitu kepada 35,000 tan dengan nilai eksport mencecah RM100 juta.

“Setiap tahun kita terima permintaan yang tinggi untuk pasaran durian, namun durian masih belum mencukupi untuk memenuhi pasaran eksport, kerana permintaan yang tinggi juga di pasaran tempatan,” katanya.

Mohamad Mustahapa berkata, China mencatatkan permintaan durian sehingga 85,000 tan, namun dijangka hanya 10,000 metrik tan durian dapat di hantar ke sana, pada tahun ini.

“Pengeluaran durian di negara ini adalah sekitar 405,000 metrik tan setahun, namun untuk eksport ke pasaran luar, kita perlu memastikan hanya durian yang berkualiti dihantar ke luar negara secara konsisten,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kelompok Durian Sungai Pinang James Wong berkata, pengeluaran buah durian pada tahun ini lebih banyak berbanding tahun lepas, namun permintaan yang tinggi daripada pemborong durian luar Pulau Pinang menjadikan permintaan tidak cukup tangan untuk dipenuhi.

Katanya bagi kawasanya, hampir 50 ahli kelompok akan menghantar dan mengumpulkan durian di kawasan Sungai Pinang, bagi memenuhi permintaan luar dan menjadikan harga durian stabil, kerana permintaan yang sangat tinggi.

“Kami mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada FAMA untuk memasarkan durian, sebab itu tiada lambakan durian di sini, malah harga buah juga mengikut gred dan jenis buah peniaga jual,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here