KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan tiga buku terbitannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hasil daripada penyelidikan pegawai dan kakitangan agensi itu.

Pelancaran naskah buku bertajuk Kilang Tanaman MARDI (Teknologi Moden Pengeluaran Tanaman Makanan), Teknologi Durian MARDI, MARDI’s Encyclopaedia of Durians itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

MARDI dalam kenyataan hari ini berkata penerbitan buku berkenaan adalah bukti sumbangan dan kerja kuat agensi itu dalam membangunkan dan meningkatkan sektor pertanian negara sekali gus menjadi inspirasi kepada pegawai dan kakitangannya menghasilkan lebih banyak penerbitan untuk rujukan dan panduan pihak berkepentingan dan kumpulan sasar MARDI.

“Buku Kilang Tanaman MARDI ini akan menjadi rujukan kepada petani moden, pelajar dan mereka yang berminat untuk menjalankan pengeluaran tanaman makanan berkualiti dengan teknologi kilang tanaman ini.

“Kandungan buku Teknologi Durian MARDI ditulis oleh penyelidik MARDI dari pelbagai bidang pengkhususan termasuklah pembiakbakaan, agronomi, pengurusan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai, mekanisasi, ekonomi dan teknologi makanan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MARDI buku Teknologi Durian MARDI itu diterbitkan untuk menyebarkan maklumat berkaitan penanaman durian ia boleh dijadikan rujukan dan panduan golongan sasar termasuk pengusaha tanaman durian, penyelidik, ahli akademik, pelajar dan ejen pengembangan serta orang awam.

“MARDI’s Encyclopaedia of Durians boleh dijadikan panduan kepada pengusaha tanaman durian, penyelidik, ahli akademik, pelajar dan agen pengembangan serta orang awam yang berminat dengan Raja Buah Malaysia ini,” menurut kenyataan.

Semua buku terbitan terkini MARDI itu boleh didapati di reruai Penerbitan MARDI bertempat di Dewan A dan Laman Sayur dengan harga diskaun antara RM50 hingga RM100, sepanjang MAHA 2022 berlangsung selama 11 hari sehingga 14 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here