KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Lapan warga Myanmar dipercayai baru tiba di negara ini ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata turut ditahan dalam operasi berkenaan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong yang membawa semua warga Myanmar itu ke pasar borong berkenaan pagi ini.

“Kesemua lelaki yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, mereka ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai.

Menurut Yahaya dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan 18 warga asing kerana positif dadah.

Beliau berkata sebanyak 400 warga asing diperiksa dalam operasi berkala bagi membanteras pendatang tanpa izin, penyalahgunaan dadah dan gengsterisme itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, Jalaluddin berkata pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan operasi bersepadu dan pemeriksaan bagi memastikan premis-premis di sekitar ibu kota mematuhi syarat lesen perniagaan.

“Dalam operasi hari ini, sebanyak tiga premis perniagaan di pasar borong ini disita kerana disewakan dan diuruskan oleh warga asing,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menasihatkan pemilik premis perniagaan agar tidak mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja atau menyewakan premis perniagaan yang diberikan DBKL dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu melanggar syarat berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here