KUALA LUMPUR, 7 Sept — Kementerian Luar telah menyelaraskan penghantaran pulang pelajar Malaysia yang akan meneruskan pengajian mereka di China dengan mengaturkan penerbangan khas ke Shanghai.

Menerusi kerjasama kementerian itu dengan Kedutaan Besar Republik Rakyat China (RRC) di Kuala Lumpur, seramai 450 pelajar Malaysia telah kembali ke China melalui tiga penerbangan khas pada 8 Ogos dan 7 Sept, setakat ini. 

“Semua pelajar yang berhasrat kembali ke China untuk pengajian mereka perlu mendapatkan surat jemputan atau borang JW201 daripada universiti masing-masing.

“Mereka kemudian boleh mengemukakan permohonan visa mereka untuk mengembara ke China di Kedutaan Besar RRC di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan Kementerian Luar, hari ini.

Ia berikutan persetujuan yang dicapai antara Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan rakan sejawat merangkap Penasihat Negara RRC, Wang Yi ,pada Disember 2021 dan semasa lawatan beliau ke Kuala Lumpur pada Julai lepas.

Menurut kenyataan itu, pelajar Malaysia yang telah mendapatkan surat jemputan atau JW201 dan ingin kembali ke China melalui penerbangan khas boleh membuat pendaftaran dengan menghubungi e-mel MAS Charter Team di charter@malaysiaairlines.com.

Kenyataan itu memaklumkan kementerian itu dan Kedutaan Besar RRC di Kuala Lumpur dengan kerjasama syarikat penerbangan Malaysia Airlines akan terus memudah cara penghantaran pelajar sehingga industri penerbangan kembali normal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here