SHAH ALAM, 14 Sept — Lebih 10,000 warga Selangor menikmati penjimatan sebanyak kira-kira RM545,000 daripada RM1.04 juta jumlah perbelanjaan barangan makanan asas pada Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang diadakan bermula 6 Sept lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata berdasarkan sambutan hangat yang diterima di 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada minggu pertama ini, jumlah jualan dan agihan subsidi kepada rakyat Selangor dijangka bertambah. 

“Seramai kira-kira 100 kakitangan dan pegawai PKPS serta sukarelawan akan menyertai sembilan lori JER yang bergerak ke seluruh negeri pada setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap trak jualan akan membawa enam produk makanan asas iaitu ayam yang beratnya antara 1.8 hingga 2 kilogram (kg) berharga RM10; daging sejuk beku (900 gram)/pek – RM10; ikan sejuk beku (1 kg)/pek – RM6; telur ayam (gred B) – RM10; beras 5 kg – RM10 dan minyak masak botol 5 kg – RM25.

Menurut beliau, program JER akan berlangsung hingga 6 Dis ini bertujuan meringankan beban rakyat mendepani kenaikan harga makanan dengan menawarkan jualan harga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

“Lokasi jualan akan tertumpu ke kawasan penduduk berpendapatan rendah dan miskin bandar dengan kerjasama daripada petugas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan pemimpin setempat,” katanya. 

Orang ramai boleh melayari laman sosial (Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok) PKPS atau melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here