KUALA LUMPUR, 16 Okt — Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melakar sejarah apabila memecah rekod baharu bagi pendakian 121 puncak gunung atau bukit dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara serentak di seluruh Semenanjung hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kejayaan yang dicipta menerusi Program Pendakian 121 Puncak sempena sambutan ulang tahun JPSM ke-121 itu, memadamkan rekod 60 puncak yang dicipta Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2017.

Katanya kejayaan itu turut dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Simultaneous Mountain Ascents.

“Sebanyak 165 lokasi pendakian gunung dan bukit turut didaftarkan hari ini yang dikendalikan JPSM bersama Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan komuniti rekreasi. 

“Antara kawasan pendakian ialah di Perak (30), Selangor (29), Johor (28). Pahang (22), Kelantan (15), Negeri Sembilan (13), Kedah (10), Terengganu (9), Melaka (4), Pulau Pinang (2), Perlis (1) dan Sabah (2),” katanya pada majlis penutup Program Pendakian 121 Puncak di Taman Eko Rimba, di sini hari ini.

Menurutnya lebih 5,000 pendaki di seluruh negara menyertai program pendakian itu dengan rekod peserta paling ramai yang dicatatkan pada ialah di Selangor iaitu 1,195 peserta.

Takiyuddin berkata MGP yang terlibat dalam semua pendakian itu dilatih JPSM menerusi Program Reskill-Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan sokongan Jabatan Perhutanan Negeri (JPN). 

“Ia adalah inisiatif JPSM dalam memperkenalkan MGP kepada masyarakat awam sebelum penguatkuasaan penggunaan MGP dalam kawasan HSK dilaksanakan sepenuhnya oleh JPN pada tahun depan,” katanya. 

Berkongsi mengenai program hari ini, beliau berkata meskipun terdapat cabaran melibatkan kejadian kepala air yang dihadapi pendaki di Gunung Mat Cincang, Langkawi, keselamatan pendaki kekal terjamin sekali gus membuktikan kesiapsiagaan dan keberkesanan latihan MGP. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here