BAYAN LEPAS, 23 Okt — Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anaknya, Nurul Izzah kemungkinan besar kekal bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas spekulasi bahawa Naib Presiden PKR itu akan berpindah bertanding di Parlimen Ampang dan kerusi Permatang Pauh disandangnya bakal ditandingi Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, Anwar dalam nada berseloroh, berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan.

“Jadi awak (media) nak tolak dia (Nurul Izzah) dekat Ampang? Oleh kerana saya ada fikir lain, kerana saudari mencadangkan, saya ada masa untuk memberi pertimbangan,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam PKR Pulau Pinang, di sini malam tadi. 

Ditanya sekali lagi adakah Nurul Izzah akan kekal di Permatang Pauh, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, berkata: “Saya bagi ‘scoop’, kemungkinan ke arah itulah”.

Kepada soalan adakah beliau memaksudkan ia kawasan Permatang Pauh, Anwar menjawab: “Saya kata kemungkinan ke arah itu, kemungkinan besar. Kemungkinan yang amat besar”.

Parlimen Ampang disandang bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu keluar parti dan menyertai BERSATU.

Zuraida kemudian turut meninggalkan BERSATU pada Mei lalu dan pada 1 Oktober lalu dipilih menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

Sebelum itu, Anwar menjelaskan, proses pertama pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH telah selesai.

Langkah seterusnya adalah memikirkan soal menyaring dan memilih calon melibatkan bahagian cabang pada peringkat negeri serta jawatankuasa pilihan raya sebelum senarai itu diserahkan kepadanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here