KOTA KINABALU, 23 Okt — Parti Warisan (Warisan) mencalonkan semula Datuk Darell Leiking dan Datuk Mohd. Azis Jamman di kerusi Parlimen yang disandang mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Darell yang menyandang kerusi Parlimen Penampang kekal bertanding di kerusi berkenaan manakala Mohd. Azis dicalonkan semula di Parlimen Sepanggar.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal semasa Program Jelajah Warisan.

Pada PRU14, Darell yang juga Timbalan Presiden Warisan menang kerusi Parlimen Penampang dengan majoriti 23,473 undi menewaskan pesaing terdekatnya, Ceaser Mandela Malakun mewakili Barisan Nasional (UPKO) dalam persaingan empat penjuru.

Bagi kerusi Parlimen Sepanggar pula, Mohd. Azis selaku Ketua Penerangan Warisan menang kerusi tersebut pada PRU14 setelah memperoleh majoriti 12,984 undi menewaskan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dari Barisan Nasional dalam pertembungan empat penjuru.

Mohd. Shafie berkata, calon keseluruhan diumumkan pada awal November sebelum penamaan calon diadakan.

Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, Warisan akan menyenaraikan calon yang mempunyai trek rekod yang cukup baik.

Mengulas tentang kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Mohd. Shafie berkata, PBS telah menyertai GRS dan bertanding menggunakan logo GRS.

Justeru, Warisan akan melihat terlebih dahulu parti mana yang mendapat mandat rakyat pada PRU15.

“Kita akan berbincang dengan parti yang mendapat mandat selepas PRU. Jika mahu membentuk kerajaan, kena ada kompromi demi kepentingan negara bukannya kepentingan parti.

“Kita kena meletakkan negara di landasan yang betul jadi kerjasama perlu dibuat selepas pilihan raya. Selepas mandat diberikan oleh rakyat, kita lihat keadaannya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here