BUKIT MERTAJAM, 26 Okt — Pengagihan kerusi Parlimen dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah selesai, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, rundingan berkaitan agihan kerusi dalam kalangan empat parti komponen utama PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah selesai.

Saifuddin, yang juga Setiausaha Agung PKR, bagaimanapun, berkata rundingan agihan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih belum dimuktamadkan.

“Namun rundingan agihan kerusi untuk MUDA dan PSM akan dimuktamadkan Sabtu ini oleh pimpinan tertinggi selepas Jawatankuasa PH mengadakan perbincangan dengan dua parti itu Ahad lepas,” katannya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Operasi PH Parlimen Bukit Mertajam, di sini, malam ini.

Pusat operasi itu dilancarkan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng dan ia turut dihadiri Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri, Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad dan penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata jika kerusi yang dituntut MUDA dan PSM bertembung dengan mana-mana kerusi empat komponen PH,  perbincangan akan dibuat membabitkan antara dua parti itu dan parti komponen yang terlibat sahaja.

“Kita (parti komponen PH) akan cuba elak bertembung sesama kita (MUDA dan PSM)  pada PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu membayangkan akan mempertahankan kawasan tersebut pada PRU15 pada 19 Nov ini.

“Namun saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan di mana saya bertanding,” katanya.

Pada PRU14, Saifuddin menang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dengan majoriti 4,860 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here