KEPALA BATAS, 2 Nov — Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) yang akan dilaksanakan di sini dapat meningkatkan elemen daya huni penduduk.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua projek ini dilaksanakan untuk rakyat khususnya daripada aspek perancangan dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan Keluarga Malaysia secara keseluruhan. 

Beliau berkata antara matlamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah menyediakan perumahan yang selesa untuk Keluarga Malaysia iaitu agenda utama KPKT dalam merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Pada masa ini, sebanyak lima projek PPR telah dan sedang dilaksanakan di Pulau Pinang yang merangkumi empat projek siap (999 unit) dan satu projek dalam perancangan (700 unit).

“KPKT beraspirasi untuk membawa lebih banyak PPR ke Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai bilangan PPR paling sedikit di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah untuk ketiga-tiga projek yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM170 juta untuk membangunkan PPR Kepala Batas di tanah berkeluasan 8.09 hektar di Pongsu Seribu, dekat sini.

Ia terdiri daripada 700 unit rumah pangsa termasuk tujuh unit rumah untuk orang kurang upaya yang berkeluasan 750 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. 

PPR itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti surau, taska, tadika, dewan serba guna, unit kedai dan gerai serta pelbagai kemudahan lain. 

Kerajaan juga memperuntukkan RM45 juta untuk pembinaan KBYC di tapak berkeluasan 10.12 hektar yang dilengkapi pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa antaranya padang bola dan trek sintetik, dewan e-sukan, bilik muzik, gimnasium dan trek jogging.

KBYC akan berfungsi sebagai pusat sehenti aktiviti belia di Pulau Pinang dan hab sukan di wilayah utara Semenanjung di samping memberi semangat baharu kepada golongan belia yang aktif bersukan.

Sementara itu, pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam Kepala Batas akan melibatkan pembangunan di tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkeluasan 2.023 hektar di Pongsu Seribu, dekat sini yang menggunakan kaedah perkongsian kos dengan kos keseluruhan sebanyak RM7 juta. 

Perkongsian kos ini melibatkan peruntukan RM4 juta daripada kerajaan Persekutuan, RM2 juta daripada kerajaan negeri dan sumbangan sebanyak RM1 juta oleh pihak kariah melalui kutipan wakaf dana pembangunan masjid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here