PUTRAJAYA, 8 Nov — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini merasmikan cawangan pertama penyedia hidangan ala masakan rumah ‘Daporlah’ di bangunan kementerian di sini hari ini.

Ketua Setiausaha KPNDHEP Datuk Azman Mohd Yusuf berkata usaha itu adalah bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara dalam sektor pemakanan selain bertujuan menunjukkan sokongan kementerian itu, selaku peneraju pembangunan industri perniagaan, terhadap penggiat dan peniaga. 

Beliau berkata Daporlah yang dikendalikan Kumpulan Revenue Valley, membuka cawangan pertamanya hari ini selepas hampir dua tahun menjadi platform digital yang menyediakan khidmat penyediaan hidangan ala masakan rumah serta penghantaran makanan dengan harga berpatutan.

“Saya percaya jenama Daporlah ini akan terus dikenali dan berpotensi untuk menjadi francais pada masa akan datang,’’ katanya pada majlis perasmian itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue Valley Daniel Chan.

Daniel berkata Daporlah dibuka di Putrajaya bagi membolehkan hidangan ala masakan rumah dihantar ke mana sahaja pelanggan berada di bandar ini dan sekitarnya, selain membolehkan orang ramai untuk datang dan makan di cawangan itu.

“Makanan yang dipesan oleh pelanggan akan dimasak berdasarkan pesanan, bukannya dipanaskan dan ia menjadikan makanan tersebut segar dan mudah untuk dinikmati,’’ katanya.

Beliau berkata Daporlah merancang untuk membuka lima francais baharu tahun depan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan sasaran jualan sebanyak RM2.3 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here