BEIJING, 15 Nov – Pelaburan dari China dijangka akan memangkin ekonomi Indonesia untuk terus berkembang ke tahap lebih tinggi, kata Direktor PT Kereta Laju Indonesia China (KCIC) Dwiyana Slamet Riyadi.

Dwiyana berkata, ia diunjur akan turut membawa kesan berganda kepada pembangunan negara-negara ASEAN.

Baru-baru ini, pemeriksaan keseluruhan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung berjaya diselesaikan selepas ujian sistem elektrik dilaksanakan.

Dengan kelajuan operasi mencecah sehingga 350 kilometer sejam, laluan itu akan memendekkan masa perjalanan di antara dua bandar terbabit kepada 40 minit berbanding lebih tiga jam sebelum ini.

Projek HSR Jakarta-Bandung bukan sekadar membantu menaik taraf piawaian pembinaan infrastruktur tempatan, malah menjadi penggerak baharu bagi pembangunan sosioekonomi Indonesia.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Indonesia selama sembilan tahun berturut-turut dan menjadi destinasi eksport terbesar bagi negara itu selama enam tahun berturut-turut.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara melebihi US$120 bilion (RM550.78 bilion) pada tahun lepas, meningkat 58.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China turut menjadi sumber modal asing ketiga terbesar bagi Indonesia hasil lonjakan pelaburan dalam sektor prasarana, penaiktarafan perindustrian, ekonomi digital dan lain-lain.

Dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima, produk dari Indonesia seperti sarang burung walet, kopi, minyak sawit dan buah-buahan tropika sekali lagi mendapat tempat di hati pengguna China.

PT Mayora Indonesia yang menyertai CIIE kali ini memberitahu bahawa pihaknya menikmati faedah daripada Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN.

Menurut wakil syarikat itu, status bebas tarif serta kecekapan pelepasan kastam yang tinggi menyebabkan kebanyakan produk Indonesia lebih berdaya saing di pasaran China.

Syarikat pengeluar makanan dan minuman itu menyasarkan untuk memperkenalkan lebih banyak produk berkualiti bagi menembusi pasaran China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here