BERA, 16 Nov — Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini memberi bayangan bahawa beliau tidak berhasrat untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan UMNO yang akan diadakan enam bulan selepas  Pilihan Raya Umum ke-15 (PU15), Sabtu ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata keputusan itu dibuat kerana beliau enggan mencetuskan situasi perebutan jawatan tinggi dalam parti. 

Semasa ditanya jika beliau berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam parti pada pemilihan akan datang, Annuar berkata: “Ini soalan bahaya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya suka menjadi orang kecil dalam kapal yang selamat.. saya tak nak berebut.”

Annuar berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera. 

Pada perkembangan berkaitan, Annuar berkata UMNO perlu merekayasakan (menerapkan unsur ilmu, budaya dan sebagainya) parti dan lebih penting ialah parti mendengar denyut nadi dan kemahuan rakyat agar kekal relevan.

Selain itu, UMNO juga perlu sensitif dan responsif kepada sentimen dan keadaan rakyat serta akar umbi parti yang mahu parti itu kekal dinamik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here