SIBU, 6 Jan — Lebih kurang 70 peratus projek persekutuan kini boleh dikendalikan oleh kerajaan Sarawak sendiri tanpa merujuk kepada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini selepas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas yang membenarkan pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, projek yang berada dalam lingkungan kos tersebut merangkumi sekolah, klinik, balai bomba dan projek-projek luar bandar lain dapat dijalankan oleh JKR negeri Sarawak.

Keputusan tersebut katanya amat bermakna kepada Sarawak dalam usaha mempercepatkan pembangunan terutama di kawasan luar bandar.

“Inilah kedudukannya apabila kita dapat bersama membentuk kerajaan dan suara kita didengar dan yang penting GPS (Gabungan Parti Sarawak) itu diiktiraf peranannya dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada Malam Mesra GPS 2023 di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor di sini malam ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata GPS telah memainkan peranan dalam menentukan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.

Justeru, beliau berkata setiap ahli komponen GPS perlu memastikan Kerajaan Perpaduan kekal dalam tempoh lima tahun akan datang demi kepentingan pembangunan untuk rakyat Sarawak.

Fadillah tiba di Sibu untuk lawatan rasminya yang pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis tengah hari bersama ketua jabatan negeri, persekutuan serta pemimpin masyarakat pelbagai kaum di Sibu di Dewan LAKIS, beliau berkata semangat perpaduan rakyat Sarawak boleh diterjemahkan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang stabil dan membangunkan negara bersatu padu.

Katanya, jika masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing ke arah menyemarakkan semangat bersatu padu, ia membolehkan kerajaan memfokuskan kepada pembangunan negara melalui sudut ekonomi sekali gus boleh menjuruskan kepada kesejahteraan masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here