SEOUL, 10 Feb – Pemain industri Korea Selatan, termasuk Samsung, SK dan LG pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka menawarkan sumbangan dan barangan bantuan untuk membantu usaha pemulihan Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi.

Samsung Electronics Co akan menyalurkan sokongan bernilai US$3 juta, termasuk $1.5 juta dana bantuan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pihaknya juga akan menghantar peralatan dan gajet bernilai US$1.5 juta, seperti peranti diagnosis ultrasonik mudah alih dan tablet, manakala dana bantuan itu akan disalurkan kepada agensi kerajaan Turkiye yang mengendalikan krisis bencana.

Hyundai Motor Group memaklumkan pihaknya akan menyediakan US$1.8 juta kepada Turkiye dan US$200,000 kepada Syria.

SK Group pula akan menyediakan US$1 juta sebagai bantuan kepada kedua-dua negara dan disalurkan melalui Community Chest of Korea, menurut organisasi itu dalam satu kenyataan.

“Kami memutuskan untuk memberi bantuan segera bagi membantu mereka pulih pada peringkat awal dan menyertai usaha bantuan global,” kata ketua jawatankuasa nilai sosial SK, Cho Kyung Mok.

Sementara itu, LG Group akan menderma US$1 juta melalui Palang Merah Korea. Wang itu akan digunakan untuk membantu usaha pemulihan di Turkiye dan menyokong mangsa tragedi.

“Kami mengucapkan takziah kepada rakyat Turki yang kehilangan mata pencarian dan mengalami kerosakan akibat bencana yang tidak dijangka.

“Kami memutuskan untuk menyediakan dana itu dengan harapan ia akan membantu memulihkan kawasan yang terjejas dengan pantas,”kata seorang pegawainya.

E-Land Group akan menyumbangkan barangan bantuan kecemasan, termasuk pakaian musim sejuk, kasut dan pakaian dalam bernilai 2.3 bilion won ($1.82 juta) kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Musinsa Co, platform fesyen dalam talian, telah menyumbang sekitar 380 juta won bagi pakaian musim sejuk, termasuk kira-kira 13,000 pakaian lain kepada mangsa yang terselamat di Turkiye.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here