PUTRAJAYA, 19 Feb – Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi mulai hari ini hingga 23 Feb.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan Zambry dijadual bertemu rakan sejawatnya Putera Faisal bin Farhan bagi menyusuli perbincangan memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara, termasuk penganjuran Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) selain menerokai kerjasama dalam bidang-bidang baharu.

Dalam lawatan itu, Zambry juga akan bertemu Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid A. Al-Falih untuk menerokai potensi kerjasama ekonomi baharu antara kedua-dua negara.

“Menteri Luar juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Jasem Mohamed Albudaiwi di Riyadh bagi menyusul perbincangan berkenaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan dianjurkan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Zambry juga dijadual untuk mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Duta Hissein Brahim Taha di Jeddah dan Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia Sheikh Dr. Mohammed Al-Issa di Riyadh.

Beliau juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama ahli-ahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah, yang dijangka menjadi platform bagi meneroka kerjasama perniagaan dan pelaburan baharu khususnya di Arab Saudi.

Arab Saudi merupakan negara Asia Barat pertama yang dilawati beliau sejak menyandang jawatan sebagai Menteri Luar pada 2 Disember 2022 yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here