KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ukraine merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas usaha ikhlas negara ini bersama-sama mengundi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggesa peperangan dihentikan.

Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk, berkata Majlis Peguam Malaysia antara badan terawal yang mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Malaysia adalah pengeluar terbesar sarung tangan perubatan dan beberapa syarikat swasta turut menyumbang (beberapa sarung tangan) kepada Ukraine dan kami berterima kasih untuk itu,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas upacara memperingati ulang tahun pertama pencerobohan Rusia di Ukraine yang turut dihadiri beberapa diplomat dari pelbagai perwakilan asing di Malaysia di sini hari ini.        

Rusia mula melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine pada 24 Feb 2022 yang menyaksikan kemusnahan harta benda dan infrastruktur serta banyak nyawa yang menjadi korban. 

Mykhailiuk berkata sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor turut mengambil bahagian dalam usaha pembinaan semula sebuah bandar kecil di Ukraine. 

Ditanya mengenai apa yang akan dilakukan Ukraine untuk terus mengorak langkah ke hadapan,  Mykhailiuk berkata beliau menjangkakan undang-undang antarabangsa akan dipulihkan, ini bermakna ‘wilayah kami akan bebas dan berdaulat’.         

“Kita mahukan masyarakat baharu yang makmur, terbuka dan bebas yang bersedia menjadi barisan hadapan yang boleh membuat keputusan dan menentukan nasib serta masa depan mereka sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here