SAO PAULO, 3 Mac – Satu kes penyakit lembu gila yang dikesan di Brazil pada bulan lalu, adalah ‘atipikal’ atau lain daripada kebiasaan, menurut Kementerian Pertanian.

Kementerian itu memaklumkan bahawa hasil analisis dijalankan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) mengesahkan kes luar biasa penyakit lembu gila berkenaan.

Justeru, kementerian itu berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat secara maya dengan pegawai China untuk membincangkan penyambungan semula eksport daging lembu.

Kes penyakit lembu gila itu, yang nama saintifiknya ialah bovine spongiform encephalopathy (BSE), dikesan pada seekor lembu jantan berusia sembilan tahun dari utara negeri Para.

Perkara itu kemudian diumumkan pada 20 Februari lalu, sekali gus membawa kepada sekatan automatik ke atas penjualan daging lembu Brazil ke China.

Terdahulu, tiga lagi pasaran Asia membabitkan Thailand, Iran dan Jordan semalam turut mengenakan larangan sementara ke atas import daging lembu dari seluruh Brazil.

Selain itu, pihak berkuasa Russia juga menghentikan sementara import daging Brazil, tetapi hanya bagi bekalan dari Para, menurut satu kenyataan awal daripada kementerian berkenaan.

Hanya terdapat sebuah kilang pembungkusan daging di Para yang diberi kelulusan untuk menjual daging lembu ke Russia.

Penggantungan eksport berkenaan memberi risiko besar kepada sektor ternakan utama Brazil yang juga antara terbesar di dunia.

Kementerian Pertanian dan Ternakan Brazil berkata, pihaknya menyasarkan eksport daging lembu akan kembali beroperasi dengan secepat mungkin.

Haiwan dijangkiti terbabit sudah dilupuskan, manakala pegawai menjelaskan bahawa kes ‘atipikal’ penyakit lembu gila boleh berlaku secara spontan dalam populasi haiwan berkenaan dan jangkitan seumpama itu tidak bergantung pada pengambilan makanan yang tercemar dengan patogen tidak normal dikenali sebagai ‘prion’.

Sebaliknya, BSE pula dianggap lebih serius kerana membabitkan pencemaran oleh suatu yang dipanggil sebagai protein prion, sekali gus boleh mencetuskan larangan perdagangan yang berpotensi memberi kesan buruk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here