PUTRAJAYA, 14 Mac – Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin akan menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Jepun Shunsuke Takei bersempena lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia bermula Selasa (14 Mac).

Lawatan ini merupakan lawatan pertama peringkat tinggi oleh Kerajaan Jepun ke Malaysia sejak pembentukan kerajaan Malaysia yang baharu pada Disember 2022.

Difahamkan, lawatan ini juga akan memacu momentum baharu bagi membuka peluang-peluang kerjasama yang belum diterokai demi manfaat bersama kedua-dua negara.

Wisma Putra memaklumkan bahawa kedua-dua Timbalan Menteri Luar Negeri itu akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan hala tuju dalam mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Jepun.

Mereka juga akan membincangkan kaedah-kaedah untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, kebudayaan, hubungan sesama rakyat serta ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun.

“Kedua-dua Timbalan Menteri Luar Negeri juga akan bertukar- tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here