PUTRAJAYA, 30 Mac – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan beberapa parameter untuk memandu proses agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Formula rundingan agihan kerusi antara PH dan BN telah dimulakan,” katanya.

Dilaporkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Mengenai keputusan BN bahawa semua calon mewakili parti itu akan menggunakan logo dacing pada PRN, Saifuddin berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada PH.

Beliau berkata keputusan itu dibuat Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada gabungan parti-parti politik tidak mempunyai logo rasmi setakat ini.

“PH dan BN ada logonya jadi dalam konteks itu Pengerusi BN yang juga Presiden UMMO (Ahmad Zahid) membuat keputusan sebab itu dalam domain BN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here